Laman

10 June 2010

Persoalan Agama: Solat batal jika bacaan al-Fatihah tak sempurna

Celoteh Aku MamaGlam at 11:32 AM

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed


 

ADA rakan menegur bacaan al-Fatihah saya. Kerana bukan setakat bacaannya rosak, malah berdosa dengan menyebut nama syaitan yang dilaknati Allah SWT dalam solat kita dan boleh mencacatkan solat. Bolehkah ustaz huraikan perkara ini?

Nur Hana Ameera Akil, Bangi

MEMBACA surah al-Fatihah dalam solat termasuk dalam rukun Qauli iaitu wajib dibaca dengan betul. Sekiranya dibaca tidak betul, dibimbangi boleh membawa kepada batalnya solat. Saya tertarik dengan petikan dalam buku Indahnya Hidup Bersyariat mengenai rukun solat.

Salah satunya menyatakan, membaca surah al-Fatihah itu menyebut: “Perlu diingat bahawa adalah wajib memelihara segala makhraj dan tajwid ketika membaca al-Fatihah tiap-tiap rakaat dalam solat.”

Syarat sah bacaan al-Fatihah ialah:

  Bacaan itu didengari dengan jelas jika dia mempunyai pendengaran yang baik;

  Membaca mengikut tertib ayat serta jelas sebutan huruf dan bacaan yang bersabdu;
  Menyebut sebutan kalimah dalam surah itu dengan betul sama dengan maknanya. Jika tidak,   solatnya dianggap tidak sah;
  Bacaan surah al-Fatihah dalam solat hendaklah dilafazkan dalam bahasa Arab;
  Hendaklah menyempurnakan bacaan al-Fatihah ketika dalam keadaan berdiri dan tidak boleh disambung dalam keadaan duduk.

Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban dan Daraquthni menyebut: “Tidak cukup solat yang tidak dibaca al-Fatihah kepadanya.” Satu riwayat lagi iaitu Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Hibban menyebut: “Barangkali kamu membaca di belakang imam kamu?”Kami menjawab: “Betul.” Maka sabda baginda: “Janganlah kamu berbuat (demikian) melainkan membaca Faatihatul Kitab (surah al-Fatihah), kerana tidak ada solat bagi yang tidak membacanya.

Hadis daripada Ubadah bin Shamit pula menyebut, sudah bersabda Rasulullah SAW: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca ummul Quran (surah al-Fatihah) Muttafaqun ‘alaih.

Daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: “Suatu saat ketika Jibril duduk bersama Nabi SAW, tiba-tiba terdengarlah suara dari arah atas. Kemudian dia mengangkat kepala dan berkata: “Sesungguhnya ini suara pintu langit yang pada hari ini dibuka di mana sebelumnya belum pernah dibuka dan akan turunlah darinya malaikat.”

Dia berkata pula: “Ini adalah malaikat yang turun ke bumi yang mana sebelum hari ini ia belum pernah turun, kemudian ia memberi salam dan berkata: “Sambutlah khabar gembira dengan diturunkan dua Nur yang mana belum pernah disampaikan kepada nabi sebelum kamu iaitu Fatihatul kitab dan beberapa ayat pada akhir surah al-Baqarah yang mana bila kamu membaca satu huruf daripadanya nescaya akan diberikan apa yang kamu harapkan.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW sangat menitikberatkan pembacaan al-Quran yang tepat dan betul. Selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Muzzammil ayat 4 yang bermaksud: “Bacalah al-Quran itu dengan tertib (bertajwid).”

Untuk memastikan bacaan kita betul dan tepat, hendaklah menyemak bacaan kita dengan guru yang diakui atau apa yang disebut sebagai penyampaian secara talaqqi dan musyafahah.

Rasulullah SAW juga amat berhati-hati dalam menjaga kesahihan bacaannya. Walaupun baginda sudah dijamin terlepas daripada melakukan kesilapan, Baginda tetap menyemak bacaannya dengan Jibril setahun sekali iaitu pada Ramadan seperti yang disebut dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah, katanya: “Adalah Jibril mengemukakan kepada Nabi SAW bacaan al-Quran setiap setahun sekali (iaitu pada Ramadan). Maka pada tahun Baginda wafat dikemukakan kepadanya dua kali. Adalah Nabi SAW beriktikaf 10 hari setiap tahun (iaitu pada Ramadan). Maka pada tahun Baginda wafat, Baginda beriktikaf 20 hari.”

Selepas itu, Rasulullah SAW pula mengajar dan menurunkan bacaan itu secara talaqqi dan musyafahah kepada kalangan sahabatnya seperti bacaan yang Baginda terima tanpa mengubahnya. Sebuah hadis sahih riwayat Ibnu Khuzaimah, daripada Zaid bin Tsabit, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT suka al-Quran itu dibaca menepati seperti ia diturunkan.” Rasulullah SAW juga sudah menentukan beberapa sahabat yang berkelayakan dan mahir dalam pembacaan al-Quran seperti Abdullah Ibnu Mas’ud, Salim, Mu’az bin Jabal, Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Tsabit, Abu Musa al-Asy’ari, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abu Darda’ dan lain-lain.

Rasulullah SAW amat menitikberatkan pembelajaran dan ketepatan bacaan al-Quran dan perlunya ia diambil daripada orang yang berkelayakan. Perkara ini dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abdullah Ibnu ‘Amr bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Ambillah bacaan al-Quran itu daripada empat orang iaitu: Abdullah Ibnu Mas’ud, Salim, Mu’az bin Jabal dan Ubai bin Ka’ab.”

Sumber: Berita Harian

0 berbalas bebelan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wif Lurve ^v^

 

Si Mama Glam Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea