Laman

09 November 2010

Maksud Kaya Hati

Celoteh Aku MamaGlam at 8:20 AM

 

Apakah yang dimaksudkan dengan kaya jiwa atau kaya hati?


Kaya hati bermaksud, hati itu mampu bersabar apabila ditimpa kemiskinan dan mampu bersyukur apabila mendapat kekayaan & kesenangan. Dalam apa jua keadaan, orang yang memiliki hati sedemikian akan mendapat ketenangan dalam hidupnya. Ketenangan inilah yang menjadi asas dan teras pada kekayaan hakiki pada seseorang individu. Dan Maha Adil Tuhan yang telah menentukan behawa kekayaan hati itu dapat dimiliki oleh sesiapa sahaja tidak kira si miskin atau si kaya. Asalkan sahaja hati itu dihubungkan dengan Allah, maka hati itu akan tenang.
Firman Allah:


“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”             (Ar-Ra’d:28)


Soalnya bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenang dengan mengingati Tuhan?
Apabila hati mengingati tuhan maka seseorang itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud ketentuan dan takdir Tuhan yang telah menimpa pada dirinya. Apabila ditimpa musibah, katalah kemiskinan, dia sedar bahawa itu adalah ketentuan daripada Allah yang wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah. Walaupun dia telah berusaha gigih dan sekuat yang mungkin, jika ditakdirkan miskin…diterimanya ketentuan itu dengan hati yang sabar.


Dalam hatinya dia berkata “Takdir sentiasa atasi tadbir. Tentu ada hikmah disebalik kepahitan ini.” Dia tidak akan menyalahkan dirinya, orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpanya. Kerana apa? Kerana dia sedar, sebagai hamba dia hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di tangan Allah.

Maka dengan keyakinan yang sebegini, seseorang itu akan merasai satu ketenangan dan kelapangan yang menjadikan dia tidak mudah untuk marah-marah dan kecewa dalam hidupnya. Dia yakin, semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang daripada Allah (Yang Maha Pengasih) walaupun jika dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kita diajar mengucapkan “innalillahi wa inna ilaihiraaji’un” – Kami datang daripada Allah dan kepada Allah jua kami akan dikembalikan. Tegasnya, ucapan ini mengingatkan kita bahawa kita adalah hamba-Nya.

Maka jika sedar akan hakikat itu, layakkah kita sebagai hamba untuk memberontak menentang ketentuan Allah?

Sahabat sekalian, kita sering mendapat kurniaan nikmat daripada Allah. Apabila kita mendapat sesuatu, kita diajar untuk mengucapkan terima kasih. Kita memuji pemberi tersebut. Begitu juga apabila Allah memberi kurniaan, kita diajar mengucapkan Alhamdulillah – segala puji bagi Allah. Sepatutnya kita merasakan apa jua pemberian itu datangnya darpada Tuhan. Jika tidak, kita mungkin ditimpa oleh dua kemungkinan – rasa sombong dengan pemberian itu atau belum puas dengan apa yang diberikannya.

Dalam hidup kita, kita tidak akan boleh lari daripada dua keadaan ini. Sama ada dalam keadaan senang ataupun keadaan sempit dan susah. Permasalahan yang timbul ialah bagaimana seseorang itu berdepan dengan situasi sebegini.

Ya, jika direnung dalam-dalam, ramai manusia pada hari ini, tidak kira di mana jua, sesiapapun(termasuklah saya), pada bila-bila masa pun, telah pun mengalami ‘sakit rohani’ atau sakit hati. Memang, itulah sifat sabar dan syukur yang jarang dimiliki oleh manusia.


Manusia kerap bersifat keluh-kesah apabila ditimpa musibah, tetapi lupakan diri apabila memperoleh nikmat. Oleh sebab itu, manusia sering berasa tidak tenang dan sering rasa menderita dalam apa jua keadaan pun. Dalam pepatah hukama ada mengatakan “Barang siapa yang tidak merasa cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak."

Orang yang sentiasa melihat pemberian itu daripada hati yang sihat, akan tahu erti kesabaran dan syukur dalam erti kata yang sebenarnya. Kekayaan hati dan jiwa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seorang manusia untuk berhadapan dengan 2 situasi itu. Apabila memperoleh nikmat, dia bersyukur, apabila menghadapi musibah dia bersabar. Dia percaya semua adalah ujian daripada Allah. Dalam dua keadaan, dia berjaya menghadapinya dengan tenang. Apabila dua kata yang berbeza bercantum akan menjadi satu. Dua kata itulah sabar (dengan ketentuan Allah) dan syukur (dengan pemberian Allah) akan melahirkan ketenangan hati yang sebenarnya.

Kesimpulannya, carilah kekayaan hati disamping mengejar kekayaan yang lain. Kaya jiwa bukan sahaja menjamin hidup kita diakhirat, bahkan menjamin keselamatan kita di dunia lagi. Ingat, Ketenangan didunia adalah bayangan kekayaan di akhirat. Bukankah hadis mengatakan ‘dunia adalah tanaman akhirat?’. Janganlah merebut kekayaan dunia kerana ia akan membawa kepada huru-hara. Dunia itu sentiasa menipu manusia. Sebab itu orang yang mengejar dunia semata-mata akan melahirkan hati yang tidak tenang dan sering memberontak dengan ketentuan Tuhan. Itulah yang dinamakan ‘miskin hati’. Sudahlah ‘miskin’ di dunia malah cerminan warga miskin di akhirat nanti! Nauzubillah…

“Carilah syurga yang disegerakan di dunia (Al-Jannatul Ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!” –kata ahli sufi-

 

Sumber: Kembara Matahati

0 berbalas bebelan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wif Lurve ^v^

 

Si Mama Glam Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea