Daripada Insan Mengharap:
"Salam. Saya memerlukan pendapat mamafarhah untuk menyelesaikan masalah saya ini.. 10 tahun dahulu, ibu bapa saya mengalami masalah rumahtangga disebabkan oleh kehadiran perempuan lain.
Atas nasihat kawan, ibu saya memakai susuk untuk memikat suami yang didapati daripada seorang bomoh yang kononnya sebagai penyelesaian masalah tersebut tanpa pengetahuan ayah saya. Ibu saya jenis yang tidak terdedah dengan dunia luar dan kurang pengetahuan agamanya, maka dia tidak mengetahui memakai susuk salah dari segi Islam.
Saya tidak mampu untuk menasihati ibu memandangkan pada waktu itu saya masih bersekolah rendah. Menurut bomoh itu susuk tersebut boleh hilang kuasanya apabila umur mencapai 40 ke 50 lebih.
Apakah hukumnya dalam kes ini dan apa komen mamafarhah? Bolehkah susuk akan hilang sendiri tanpa dibuang? Saya mohon pendapat mamafarhah memandangkan keadaan ibu saya yang tidak pernah bersolat walaupun usianya telah mencapai 40 tahun lebih. Saya bimbang andai susuk tersebut menjadi penyebab utama sebagai penghalang ibu untuk beribadat."
Ulasan kami adalah seperti berikut:
1. Terlebih dahulu kami mengucapkan tahniah dan syabas atas sifat prihatin saudari yang ingin melihat ibu dan ahli keluarga berada pada jalan Allah S.W.T. Moga Allah memberikan kekuatan dan istiqamah kepada saudari.
2. Pemakaian susuk adalah dilarang oleh Allah kerana ia merupakan satu amalan sihir iaitu meminta bantuan jin untuk mendapat sesuatu. Sihir ini boleh memesongkan aqidah dan boleh membawa kepada keluarnya agama jika pergantungan kepada makhluk jin itu mengatasi pergantungan kepada Allah.
3. Orang yang mengamalkan susuk akan mendapat keseronokan kecil yang sementara, tetapi akan mengalami penderitaan yang panjang dalam hidup di dunia, dan penyeksaan yang dahsyat di Akhirat nanti, jika dia tidak segera bertaubat dan meninggalkan amalan itu.
4. Sifat jin kafir (Syaitan) amat suka jika dapat menumpang pada jasad manusia. Sekali dia diberi ruang, dia tidak akan mudah keluar atau pergi begitu sahaja. Maka pada umumnya susuk itu tidak akan hilang sendiri, bahkan perlu dihilangkan melalui perubatan Islam. (Atau sekurang-kurangnya perlu disahkan bahawa ia telah hilang melalui rawatan perubatan Islam).
5. Berasaskan maklumat saudari, ibu saudari tidak pernah bersolat, maka perkara utama yang perlu dilakukan ialah untuk menimbulkan kesedaran beragama bagi mengukuhkan aqidahnya kepada Allah dan keyakinan kepada balasan Allah melalui Syurga dan Neraka selepas kematiannya.
6. Kemudian, perlu dibimbing agar dia mengamalkan rukun Islam yang asasi seperti solat, puasa dan lain-lain di samping mendekatkan dirinya dengan al-Quran.
7. Selepas itu, dedahkanlah kepadanya dengan ilmu-ilmu Islam termasuk dalam soal amalan sihir dan perubatan Islam. Ajaklah dirinya supaya kembali ke jalan Allah.
8. Usahakan agar dia dibawa menjalani rawatan perubatan Islam (seperti Darussyifa di bawah pimpinan Dr. Harun Din atau Darussalam di bawah pimpinan Ust Ismail Kamus) bagi membuang susuk yang ada pada dirinya.
9. Dorongkan diri ibu agar istiqamah pada jalan Allah.
10. Selain itu kami cadangkan juga agar saudari menggunakan pendekatan yang hikmah agar usaha ini dapat mencapai sasaran yang terbaik.
Moga Allah merahmati usaha saudari itu.
- Artikel iluvislam.com
0 berbalas bebelan:
Post a Comment